BeSt ViEw - MoZiLLa FiReFoX & GoOgLe chRoME

Wednesday 10 August 2011

BURSA MALAYSIA: Harga Saham Ditutup Rendah


KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Harga-harga saham di Bursa Malaysia meneruskan trend menurunnya dalam sesi lewat urus niaga Selasa sebelum mengakhirinya pada nada yang lemah ekoran tekanan jualan yang berlanjutan walaupun beberapa aktiviti membeli saham murah berjaya mengekang kerugian, kata para peniaga.

Petunjuk utama pasaran Indeks Komposit FBM Kuala Lumpur susut 24.85 mata atau 1.66 peratus kepada 1,472.14 dengan kerugian besar kebanyakannya dilihat dalam saham-saham penting utama yang didahului oleh CIMB, IOI Corporation dan Tenaga.

Bagaimanapun, perolehan dalam saham-saham berwajaran tinggi seperti Gamuda, UEM Land dan DiGi berjaya mengurangkan beberapa kerugian berbanding sesi urus niaga pagi.

Indeks Kewangan susut 252.21 mata kepada 14,055.85, Indeks Perladangan merosot 173.48 mata kepada 7,097.5 dan Indeks Perindustrian turun 51.01 mata kepada 2,656.59.

Indeks FBM Emas lebih rendah 179.21 mata kepada 10,048.74, Indeks FBM Ace turun 111.39 mata kepada 3,727.51, FBMT100 pula berkurangan 166.97 mata kepada 9,877.19 dan Indeks FBM Mid 70 susut 185.66 mata kepada 10,919.77.

Saham-saham rugi mengatasi saham untung dengan 828 berbalas 159 sementara 179 kaunter tidak berubah, 325 tidak diniagakan dan 44 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 1.896 bilion saham bernilai RM3.598 bilion daripada penutup semalam 1.937 bilion saham bernilai RM3.612 bilion.

Pengarah Bersekutu Kenanga Investment Bank Bhd Chan Ken Yew berkata bursa tempatan bagaimanapun melantun semula pada sesi tengah hari beserta dengan pasaran serantau, disokong oleh aktiviti membeli saham murah dalam beberapa saham berwajaran tinggi.

"Bagaimananpun, masih lagi awal untuk menyatakan sama ada pasaran masih lagi tidak menentu," kata beliau kepada Bernama di sini.

Dalam nota penyelidikannya semalam, bank pelaburan itu berkata ia belum menyemak kembali unjuran pasaran akhir tahunnya iaitu 1,640 tetapi menyatakan jelas terdapatnya risiko kejatuhan ketara seterusnya di celah-celah iklim ekonomi global yang tidak menentu.

Di kalangan saham aktif, Ranhill, yang menyambung kembali urus niaga pada sesi tengah hari, ditutup 13.5 sen lebih tinggi pada 88 sen berikutan berita cadangan ambil alih oleh satu konsortium pelabur termasukan ketua eksekutifnya Tan Sri Hamdan Mohamad.

Sementara itu, Axiata Group susut lima sen kepada RM4.94 dan Sanichi Technology kekal pada lapan sen.

Untuk saham berwajaran tinggi, Maybank turun lapan sen kepada RM8.55, CIMB kerugian 20 sen kepada RM8.10, Sime Darby 10 sen lebih rendah pada RM8.85 dan Petronas Chemicals susut 11 sen kepada RM6.32.

IOI Corporation jatuh 21 sen kepada RM4.47, Tenaga pula 24 sen lebih rendah pada RM5.70, Gamuda menokok 14 sen kepada RM3.34, UEM Land naik empat sen kepada RM2.20 dan DiGi mengukuh 12 sen kepada RM29.52.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama naik kepada 1.521 bilion saham bernilai RM3.549 bilion daripada penutup Isnin iaitu 1.502 bilion saham bernilai RM3.545 bilion.

Jumlah dagangan di pasaran ACE susut kepada 250.202 juta saham bernilai RM36.183 juta daripada 269.845 juta unit bernilai RM48.435 juta pada penutup hari Isnin.

Waran susut kepada 117.475 juta unit bernilai RM10.804 juta berbanding penutup semalam 156.008 juta saham bernilai RM15.768 juta.

Produk pengguna menguasai 51.673 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian 256.011 juta, pembinaan 155.661 juta, urus niaga dan perkhidmatan 522.526 juta, teknologi 31.106 juta, infrastruktur 23.131 juta, kewangan 196.875 juta, perhotelan 1.547 juta, hartanah 208.77 juta, perladangan 58.753 juta, perlombongan 273,800, REIT 10.296 juta dan dana tertutup 295,600.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...