BeSt ViEw - MoZiLLa FiReFoX & GoOgLe chRoME

Saturday 21 May 2011

Hadith Minggu Ini: Berkaitan Pemimpin & Kepimpinan

Kepimpinan
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : Ia (iaitu kepimpinan) adalah amanah dan di akhirat ia menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali mereka yang mengambilnya dengan hak dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan di dalamnya.

Usah Pentingkan Diri Sendiri
Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Bersabda Rasulullah SAW: Tiga macam orang bukan saja tidak akan mendapat layanan dan ampunan pada hari kiamat kelak, bahkan akan mendapat seksa yang pedih, iaitu seorang yang mempunyai kelebihan air di tengah padang pasir, sedangkan ia tidak mahu memberikannya kepada orang yang kehausan, seorang yang menjajakan barang dagangannya sesudah lewat waktu Asar sambil bersumpah dusta bahawa pokoknya sekian-sekian dan dipercayai oleh si pembeli dan seorang lagi yang membai'at pemimpin hanya untuk maksud manfaat keduniaan; apabila kelak maksudnya tercapai, ia patuh dan jika tidak, ia mungkir (berpaling tadah).

Golongan Yang Tidak Dipandang Allah S.W.T
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Tiga Golongan manusia yang Allah tidak akan bercakap dengan mereka di hari kiamat, tidak menganggap mereka sebagai orang yang bersih, tidak melihat kepada mereka, dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dengan azab yang sangat pedih. Mereka ialah orang tua yang berzina, raja atau pemimpin yang suka berbohong dan orang miskin yang sombong.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, Aku takut kepada Allah, seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya.

Pemimpin Silih Berganti 
Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud: Kaum Bani Israel biasanya dipimpin oleh para nabi. Setiap kali meninggalnya seorang nabi akan diganti pula oleh seorang nabi yang berikutnya. Sesungguhnya tiada nabi sesudahku. Ada beberapa orang pemerintah sebagai penggantiku dan banyaklah bilangan mereka itu, Baginda bersabda, Lakukanlah baiah yang pertama, dan hendaklah patuh kepada pemerintahan mereka. Kamu juga hendaklah memerangi mereka yang menentang mereka, dan mohonlah kepada Allah apa-apa yang menjadi hak bagimu, Allah akan bertanya kepada khalifah-khalifah itu mengenai cara mereka mentadbir pemerintahan mereka

Pemerintah Wajib Berlaku Adil
Daripada Aishah r.a. katanya, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda dalam rumahku ini, Ya Allah, sesiapa yang mentadbir sesuatu urusan pemerintahan umatku, kemudian ia melakukan kezaliman ke atas mereka, maka kembalikan kezaliman itu ke atas mereka. Sesiapa yang mentadbir sesuatu urusan pemerintahan umatku, dengan menunjukkan kasih sayang kepada mereka, maka kasihilah orang tersebut

Suami Yang Bertanggungjawab
Saad bin Abi Waqas r.a menceritakan bahawa rasulullah s.a.w pernah bersabda:'Nafkah (infak) yang kamu berikan semata-mata kerana Allah nescaya diberi pahala oleh Allah; bahkan apa yang kamu berikan untuk makanan isteri kamu (perbelajaan rumahtangga) akan diberi pahala juga oleh Allah.

Pemimpin Yang Adil mendapat kedudukan Tinggi disisi Allah
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil di sisi Allah akan menduduki beberapa mimbar yang diperbuat daripada cahaya. Mereka ialah orang-orang yang berlaku adil di dalam pemerintahan, ke atas keluarga dan apa-apa yang ditadbir oleh mereka

Amanah Itu Berat
Dari Abdur Rahman bin Samurah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: Hai Abdur Rahman! Janganlah engkau meminta-minta hendak jadi pembesar negara kerana jika engkau jadi pembesar kerana permintaan, tanggungjawabmu akan besar sekali. Dan jika engkau diangkat tanpa permintaan, engkau akan dibantu orang dalam tugasmu.

Kewajipan Pemimpin
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang diserahkan oleh Allah akan sesuatu urusan dari beberapa urusan pemerintahan kau muslimin, lalu ia tidak mempedulikan tentang keperluan mereka, kesusahan dan penderitaan mereka nescaya Allah tidak akan mempedulikan tentang keperluan, kesusahan dan penderitaannya di hari kiamat nanti.

Pemimpin Jangan Mementingkan diri sendiri
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Akan lahir selepas aku beberapa pemimpin yang mementingkan diri sendiri dan yang melakukan perkara-perkara yang tidak disukai oleh kamu. Para Sahabat bertanya, Wahai Rasulullah apakah yang engkau hendak perintah dikalangan kami ini sekiranya terdapat perkara seperti itu? Baginda s.a.w. menjawab, hendaklah kamu menunaikan tanggungjawab kamu dan memohon kepada Allah segala hak-hak yang kamu perlukan.

Sumber: JAKIM

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...