BeSt ViEw - MoZiLLa FiReFoX & GoOgLe chRoME

Monday 23 May 2011

Info Terkini: Struktur Tanah Lemah Punca Tanah Runtuh-JKR

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Hujan lebat luar biasa selama tiga hari mengakibatkan stuktur tanah menjadi lemah hingga membawa kepada berlakunya kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat pada Sabtu lepas yang mengorbankan 16 nyawa.

Pengarah Kanan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) Datuk Ir Ashaari Mohamad berkata berdasarkan data taburan hujan yang diperoleh untuk tiga hari, sejumlah 29 milimeter (mm) hujan turun di kawasan itu pada Khamis, diikuti 41 mm pada hari berikutnya dan meningkat mendadak kepada 80 mm pada hari kejadian.

"Jumlah hujan yang turun pada hari kejadian adalah luar biasa sebab jumlah normal adalah sekitar 20 milimeter. Apabila hujan turun dan meresap ke dalam tanah ia telah menyebabkan struktur tanah menjadi lemah dan boleh runtuh pada bila-bila masa," katanya ketika menyampaikan taklimat pada majlis penyampaian sumbangan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada mangsa tragedi tanah runtuh itu di Hulu Langat dekat sini Isnin.

Ashaari berkata berdasarkan tinjauan pihaknya ke kawasan dan puncak cerun berhampiran tanah runtuh itu, terdapat lurah laluan air yang menuju ke kawasan runtuhan.

Selain itu, pokok-pokok yang ditebang di sekitar kawasan itu juga menyebabkan kawasan berkenaan menjadi laluan air apabila hujan.

"Tanah-tanah masih bergerak dan kalau ada hujan boleh menyebabkan tanah runtuh dan kita kategorikan kawasan ini sebagai tidak selamat," katanya.

Berdasarkan maklumat yang diterima, beliau berkata kedudukan antara cerun yang berketinggian 25 hingga 30 meter dengan bangunan rumah anak yatim itu juga terlalu hampir iaitu sekitar tujuh meter atau 25 kaki sahaja.

"Kita menganggarkan sejumlah 3,500 isipadu tanah atau bersamaan 600 buah lori, tanah yang runtuh dan menimpa rumah anak yatim berkenaan dengan ketinggian runtuhan empat meter dan lebar 54 meter," katanya.

Ashaari berkata cerun di kawasan rumah anak-anak yatim juga telah dipotong dan itu menyebabkan berlaku ketidakstabilan pada keadaan tanah.

"Jadi hari ini kami nak teliti balik keadaan tanah dan melihat bagaimana kami boleh baiki semula struktur tanah ini. Kami juga meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengawasi keadaan sekitar kawasan perumahan di kawasan ini kerana mereka juga terdedah kepada risiko sama," katanya.

Pada majlis itu, sejumlah RM217,000 sumbangan disalurkan Majlis Agama Islam Selangor dan Lembaga Zakat Selangor kepada 53 waris dan mangsa tragedi tanah runtuh itu dan rumah kebajikan berkenaan.

Setiap waris kepada 16 mangsa yang terkorban menerima RM5,000 setiap seorang manakala mangsa yang terselamat menerima sumbangan berjumlah RM1,000, sementara rumah anak yatim itu mendapat sumbangan RM100,000.

Selain itu kerajaan Selangor turut menyalurkan sumbangan RM5,000 kepada setiap waris.

-- BERNAMA

Waris Mahu Guna Duit Sumbangan Untuk Kenduri Tahlil

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- "Aiman suka bersedekah. Dia suka belanja kawan-kawan makan sampai kadang-kadang sanggup tidak makan kerana mahu belanja kawan," kata Hasnah Ismail, nenek kepada seorang mangsa tragedi tanah runtuh di Hulu Langat, Mohd Aiman Abdullah.

Hasnah, 56, berkata Aiman, 10, yang tinggal dengannya sejak kecil merupakan cucu yang baik selain suka bergurau.

Beliau berkata cucunya itu sangat suka belajar di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Madrasah Hidayah Al-Taqwa itu sehinggakan apabila pulang ke rumah, arwah tidak sabar-sabar untuk kembali semula ke madrasah terbabit.

"Selalunya dia tidak sabar-sabar untuk kembali semula ke rumah anak-anak yatim ini sampai kadang-kadang pun tak boleh tidur malam," katanya yang menetap di Pantai Dalam, Bangsar.

Hasnah ditemui pada majlis penyampaian sumbangan RM10,000 Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Lembaga Zakat Selangor dan kerajaan negeri Selangor yang disampaikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin di lokasi tanah runtuh itu di Hulu Langat Isnin.

"Kali terakhir nenek jumpa Aiman 23 Mac lepas. Tapi sekarang nenek tak boleh jumpa dia lagi, nenek rindu sangat dengan Aiman," katanya sambil menitiskan air mata ketika ditemu bual wartawan.

Menurutnya sumbangan diterima hari ini akan digunakan untuk kenduri tahlil selain bercadang menunaikan ibadat haji untuk Aiman.

Norliayah Mohd Raus, 42, pula berkata kelakuan anaknya Norahimi Rosli, 14, semakin positif selepas memasuki madrasah itu.

"Dia masuk ke madrasah ini tahun lepas, dulu perangainya nakal tetapi bila dia dah masuk ke tempat ini perangainya semakin baik dan boleh mendengar kata," katanya.

Norliayah berkata sumbangan RM5,000 daripada MAIS dan Lembaga Zakat Selangor akan digunakan untuk kenduri tahlil anaknya.

Mohd Aiman dan Norahimi antara 16 mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh itu pada Sabtu lepas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Abdul Rashid Abdul Wahab berkata polis akan menutup bilik gerakannya di lokasi kejadian selepas lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak esok.

"Jalan juga akan ditutup sementara kepada orang ramai semasa lawatan Perdana Menteri bagi melancarkan perjalanan keluar masuk PM ke lokasi kejadian," katanya.

Tinjauan Bernama di sini pula mendapati pihak polis masih berkawal di sekitar kawasan kejadian.

Keadaan kawasan kejadian juga lengang dan tidak lagi menjadi tumpuan penduduk seperti pada hari kejadian dan hanya ada pihak media yang membuat liputan serta kumpulan pasukan penyelamat mengawasi persekitaran.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...