BeSt ViEw - MoZiLLa FiReFoX & GoOgLe chRoME

Saturday 21 May 2011

InfoTerkini: 24 Orang Tertimbus Dalam Kejadian Tanah Runtuh Di Hulu Langat (Updated)


KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Seramai 24 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Langat dekat sini Sabtu.

Setakat 8 malam, lima mayat kanak-kanak berusia 11 dan 14 tahun dikeluarkan dari runtuhan itu manakala sembilan lagi ditemui cedera termasuk seorang lelaki dewasa berusia 22 tahun, kata polis.

Penghuni yang cedera berusia antara 11 dan 17 tahun manakala lelaki dewasa itu dipercayai pekerja di rumah anak yatim berkenaan. Kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan dan setakat ini keadaan mereka tidak diketahui, kata Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata rumah anak yatim yang terletak berhampiran bukit itu menempatkan 49 orang termasuk penghuni termasuk lima penjaga. Kesemua penghuni rumah itu adalah lelaki.

Ketika kejadian pada pukul 2.30 petang kesemua penghuni rumah anak yatim itu berada dalam sebuah khemah yang dipasang untuk persiapan satu majlis yang dijadual pada pukul 5 petang. Runtuhan tanah dari bukit itu dikatakan menimbus keseluruhan khemah itu yang terletak di luar rumah anak yatim itu, yang terletak di lereng bukit itu.

Turut terkena runtuhan tanah itu ialah sebuah surau.

"Kami difahamkan berlaku dua kali tanah runtuh secara serentak dalam sekelip mata. Semua mereka yang berada dalam dewan itu tidak sempat menyelamatkan diri," kata Tun Hisan pada sidang akhbar di tempat kejadian.

Beliau berkata polis akan menyiasat punca kejadian. Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengeluarkan mayat pertama pada pukul 4.30 petang, diikuti mayat kedua setengah jam kemudian dan mayat ketiga dikeluarkan pada pukul 6.10 petang.

Penolong Pesuruhjaya Bomba dan Penyelamat Putrajaya Morni Mamat berkata sehingga 8.20 malam operasi mencari dan menyelamat diteruskan dalam keadaan hujan lebat.

-- BERNAMA

'Tiba- Tiba Tanah Kejar Saya': Saksi Tragedi Tanah Runtuh 

KAJANG: "Saya dengar bunyi dentuman kuat, tiba-tiba tanah kejar saya," kata Ketua Warden Rumah Anak Yatim Al-Takwa, FELCRA Semungkis, Mohamad Hambali Ismail, 34, ketika ditemuramah wartawan Berita Harian Online, sebentar tadi.

Katanya, ketika kejadian 2.15 petang itu, seramai 23 penghuni sedang membuat persiapan untuk menyambut ketibaan rombongan FINAS yang dijadualkan makan tengah dan beramah mesra dengan anak yatim.

"Ketika sedang sibuk membuat persiapan, saya terdengar dentuman kuat. Saya tidak dapat berbuat apa-apa dan terpaksa lari menyelamatkan diri," katanya. Beliau berkata, sementara menunggu rombongan FINAS, anak yatim terbabit sebahagiannya berlatih kompang dan nasyid.

Ketika kejadian, 23 orang berada di bawah khemah untuk majlis makan tengah hari itu.

Rumah anak yatim berkenaan mempunyai 34 penghuni, semuanya lelaki.

Setakat ini, dua penghuni maut dan enam pula cedera parah.

Sementara itu, seorang penghuni rumah anak yatim berkenaan, Mohd Faizal Isni, 17, berkata, ketika kejadian dia ke tandas dan tiba-tiba kejadian berkenaan berlaku.

"Saya nampak kawan-kawan yang berada bawah khemah sudah tertimbus, cuma nampak tangan dan kepala mereka. Semuanya terkambus.

"Masa yang sama, ketika saya menoleh ke belakang ternampak tanah runtuh seperti mengejar saya," katanya.

- TV Selangor (tvsnews.net)



Lima Mangsa Dirawat Di Hospital Ampang Stabil
 
KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Lima daripada lapan mangsa kejadian tanah runtuh di Hulu Langat yang dimasukkan ke Hospital Ampang pada Sabtu dilapor berada dalam keadaan stabil.

Tiga lagi kritikal, kata Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ab Rashid Ab Wahab.

Beliau berkata kesemua mangsa dibawa ke hospital itu pada pukul 4.46 petang hingga 8.23 malam.

Mereka yang stabil dikenali sebagai Aizat, 12, (cedera tangan kiri); Muhd Alauddin Sobri, 14, pelajar tingkatan 2 Sekolah Menengah Pandan Mewah (patah tangan kiri); Muhd Syafiq Ibrahim, 21, warden (patah kaki kanan dan terkehel di bahagian leher); Khairul Anuar Nasri, 9, (luka kaki kanan); dan Siti Fatimah Ibrahim, 21, warden yang dikatakan mengalami trauma akibat kejadian tanah runtuh itu.

Ab Rashid berkata kesemua mereka cedera akibat dihempap runtuhan tanah.

Tiga lagi mangsa yang kritikal dikenali sebagai Hairi, Izudin dan Muhd Harris Izzudin Sharul Azmi.

Sehingga awal pag, seramai 12 orang maut, sembilan cedera dan empat lagi masih tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa pada Sabtu.

-- BERNAMA

Tanah Runtuh : 16 Terkorban, 9 Selamat 

KAJANG 22 MEI :Pasukan mencari dan menyelamat mengambil masa kira-kira 15 jam untuk mengeluarkan kesemua 25 mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat.

Operasi yang bermula pukul 2.45 petang semalam, berakhir kira-kira 5.30 pagi ini dengan penemuan mangsa terakhir pada pukul 5.05 pagi. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supt Azman Ayob ketika memberikan perkembangan terkini mengenai insiden itu kepada pemberita di lokasi kejadian pagi ini berkata mangsa yang terkorban dalam tragedi itu ialah 16 orang manakala sembilan mangsa yang terperangkap selamat.

Mangsa yang meninggal dunia di bawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat, katanya.

Azman berkata lokasi mangsa yang berada berdekatan antara satu sama lain membantu memudahkan usaha mencari dan menyelamat.

Pasukan mencari dan menyelamat membabitkan seramai 754 anggota daripada pelbagai agensi bantuan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM), pasukan Smart, tentera 4 Divisyen, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan St John.

"Operasi mencari dan menyelamat dihentikan setakat ini dan akan disambung pada 8 pagi ini bagi membuat gerakan terakhir untuk pastikan tidak ada lagi mangsa yang terperangkap," katanya.

Rumah anak yatim yang terletak berhampiran bukit ini menempatkan 49 orang penghuni termasuk lima penjaga.

Difahamkan ketika kejadian kira-kira jam 2.30 petang semalam, kesemua anak yatim berada di sebuah khemah untuk menghadiri satu majlis apabila runtuhan tanah dari bukit berhampiran menimbus keseluruhan khemah yang terletak di luar rumah anak yatim.

Runtuhan juga turut merosakkan surau berdekatan.

Punca kejadian masih disiasat dan pihak kerajaan negeri Selangor juga difahamkan akan mengeluarkan laporan dalam masa terdekat berhubung punca runtuhan.
- TV Selangor

Anak yatim maut tertimbus syahid

SHAH ALAM - Kematian mereka bukan sia-sia. Allah sudah janjikan ganjaran syahid bagi sekumpulan anak yatim terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Hulu Langat, petang semalam.

Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, mengikut hukum, Islam yang menemui ajal secara tragis se-perti akibat kebakaran, kemalangan jalan raya atau bencana alam dan mati ketika tidur, dikategorikan sebagai syahid.

“Mereka dapat syafaat Allah, itu janjiNya,” katanya.

Beliau mengulas kematian anak-anak yatim penghuni Rumah Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal, Hulu Langat, petang semalam.

Bagaimanapun menurut Mohd Tamyes, jenazah mereka masih perlu diurus seperti jenazah mati biasa, iaitu mandi, kafan dan disolatkan.

Beliau mengingatkan pengasas rumah kebajikan, termasuk rumah anak yatim di seluruh negara, pastikan bangunan mereka tiada risiko musibah.

“Jangan bina di lereng bukit atau berhampiran dekawasan bahaya kepada penghuni,” katanya.
- Sinar Harian

Sultan Selangor lawat lokasi kejadian tanah runtuh

23/05/2011 11:43am

KUALA LUMPUR 23 Mei - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini mencemar duli melawat tapak kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa di sini hari ini.

Baginda tiba kira-kira pukul 10.30 pagi dan diberikan taklimat penuh mengenai kejadian itu oleh Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab. - Utusan

AL-FATIHAH...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...