BeSt ViEw - MoZiLLa FiReFoX & GoOgLe chRoME

Monday 4 July 2011

Info: Khasiat & Kegunaan Asam Jawa


Dikenali sebagai Tamarindus Indica dan nama Inggerisnya pula pula ialah tamarind. Asam jawa tumbuh liar di kawasan barat India dan di benua Afrika bahagian selatan gurun Sahara. Pokok asam telah lama ditanam di negara India dan sekarang boleh didapati di kebanyakan kawasan tropika di benua Asia, Afrika dan Amerika. Daun pokok asam adalah malar hijau serta mempunyai banyak anak daun yang halus, berwarna hijau muda dan menjadi hijau tua apabila telah matang.
Jenis Kekacang

Buah asam jawa tergolong dalam jenis kekacang yang bengkok, isinya berketul-ketul dan berwarna perang seperti kayu. Isi buah mudanya berwarna hijau dan bertukar menjadi coklat apabila buahnya masak. Pokok asam tumbuh paling baik dalam musim kemarau yang nyata tetapi sederhana. Di Malaysia, pokok asam ditanam atau tumbuh sendiri, tetapi jarang dijadikan sebagai sumber ekonomi.

Terdapat beberapa jenis pokok asam jawa, tetapi biasanya dibahagikan kapada 2, iaitu jenis yang manis dan yang masam. Buah pokok asam jawa manis banyak dijual di Thailand yang dimakan sebagai manisan. Tidak lama dahulu Kementerian Pertanian Malaysia menggalakkan penggunaan asam jawa sebagai minuman bentuk jus.

Kegunaan dan Khasiat

Di Eropah, asam jawa yang dicampur dengan gula telah lama digunakan sebagai jem dan sirap. Ia juga digunakan sebahagian daripada ramuan sos BBQ dan juga sos lain dalam masakan daging. Di Curacao, sup tradisional disediakan dengan campuran asam jawa, gula dan kayu manis. Di India, biji asam jawa dipanggang dan kemudian direndam supaya kulitnya senang dikeluarkan. Biji tanpa kulit ini digoreng atau di rebus untuk dimakan. Kadang-kadang biji ini dijadikan tepung atau kanji yang diasingkan untuk dijadikan bahan makanan.

Ada orang India mengunyah kulit pokok asam bersama dengan sireh atau dimakan begitu sahaja untuk tujuan menjaga kesihatan badan bagi kaum lelaki dan wanita, terutamanya bagi wanita yang mengandung.

Bunga, daun, buah yang belum masak dan benih yang belum bercambah dimakan oleh pelbagai kaum sebagai ulam atau lauk seperti kari. Buah yang belum masak juga dibuat jeruk atau dimakan mentah seperti mangga muda.

Asam jawa dan akar pokok asam jawa juga digunakan dalam perubatan tradisional orang Timur untuk menyejukkan badan dan sebagai pelawas untuk membuang air besar. Kayu teras digunakan sebagai pelawas buang air besar dan air kecil, ubat penyakit hati dan penawar bagi kurang selera makan.

Kulit buah dan kulit kayu asam jawa mempunyai kegunaan lain, iaitu sebagai ubat cirit birit. Ini adalah kerana kulit buah dan kulit kayu mengandungi banyak tanin manakala isinya pula mengandungi banyak asid tartar. Kulit kayu juga dibuat losyen untuk mengubati pelbagai penyakit kulit seperti bisul, bengkak ulser dan gatal kerana digigit serangga.

Di kawasan Amerika Tengah, kegunaan utama asam jawa dalam perubatan tradisional adalah sebagai pelawas buang air besar. Di Curacao, asam jawa yang belum dimasak direbus dan air rebusannya itu diminum untuk mengubati selesema. Air rebusan daun pula diminum untuk mengubati penyakit kencing manis dan batuk kerana gatal kerongkong.

Bagi orang yang mengalami selsema yang sangat teruk, buah hijau ditumbuk dan dicampur dengan daunnya dan beberapa tumbuhan lain sebelum direbus dan air rebusannya diminum. Air rebusan daun asam jawa dicampur dengan daun limau dan daun durian belanda untuk dijadikan minuman bagi menyegarkan badan. Orang Aruba meminum air rebusan daun asam jawa sebagai penawar selesema dan buahnya dimasak untuk dibuat sirap untuk mengubati batuk.

Di Jamaica, air rebusan daun asam jawa diminum sebagai penawar demam campak dan dibuat air mandian penawar demam panas dan sakit otot. Orang Bahamas merebus daun asam jawa selama 20 minit dan selepas itu mencampurkannya dengan air limau nipis dan gula sebelum meminumnya sebagai penawar demam.

Di Cuba, disamping kegunaan asam jawa dan daun seperti yang diamalkan di tempat lain, air rebusan ini digunakan untuk mengubati jaundis dan pendarahan. Biji asam jawa yang dipanggang dan dijadikan tepung digunakan sebagai ubat cirit birit.

Antara khasiat lain asam jawa :
  • Air rebusan daunnya diminum sebagai penawar demam panas.
  • Daun muda di tumbuk lumat dan ditampal untuk mengubati penyakit reumatisme, luka dan bisul.
  • Jus daun muda boleh mengubati mata merah dengan cara dipanaskan sedikit dan ditapis lalu dititiskan pada berkenaan.
  • Kulit kayu direbus dan air rebusan itu diminum untuk melegakan lelah.
  • Air rebusan asam jawa digunakan losyen bagi mengubati bengkak mata.
Sumber WEB SIHAT SELALU

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...