BeSt ViEw - MoZiLLa FiReFoX & GoOgLe chRoME

Thursday 30 June 2011

InfoTerkini: Stesen Tanjong Pagar Tinggal Sejarah....


Pengurus Stesen Tanjong Pagar Sedih Gagal Pertahan Warisan Bangsa

SINGAPURA, 30 Jun (Bernama) -- Tepat pada pukul 12 tengah malam ini, Stesen Keretapi Tanjong Pagar di sini akan menghentikan operasinya selepas hampir 80 tahun menjadi jalan penghubung di antara Malaysia dan Singapura.

Bagi Samsul Bahari Sahri, pengurus stesen terbabit selama 15 tahun bermula 1992, penutupan Stesen Keretapi Tanjong Pagar yang begitu sinonim dengan kehidupannya telah meninggalkan kesan mendalam terhadap jiwanya.

"Saya tidak boleh menghadapinya (penutupan Stesen Tanjong Pagar). Saya sudah tidak boleh menangis lagi, kerana air mata saya sudah kering. Sebahagian daripada jiwa saya kosong dengan penutupan stesen Tanjong Pagar ini," katanya kepada Bernama ketika ditemui di stesen itu pada Khamis.

Walaupun kelihatan ceria dengan senyuman terukir di wajah ketika sibuk melayani permintaan pengunjung yang mahukan tandatangannya sebagai pengurus stesen Tanjong Pagar yang terakhir, beliau berkata perasaan dukacita sentiasa menyelubunginya.

Samsul Bahari berkata beliau berasa amat sedih kerana Stesen Keretapi Tanjong Pagar itu merupakan suatu warisan bangsa.

"Saya merasakan suatu kegagalan kerana tidak dapat mempertahankan warisan bangsa Malaysia (di Singapura) iaitu Stesen Keretapi Tanjong Pagar. Saya sedih kerana gagal mempertahankannya," kata beliau.

Namun, katanya keputusan menutup stesen itu adalah hasil rundingan di antara kerajaan kedua-dua negara dan beliau akur dengan keputusan itu serta mematuhi arahan mengenainya.

Beliau berkata tiket bagi perkhidmatan tren terakhir daripada Tanjong Pagar ke Johor Baharu pada pukul 10.30 malam ini sebelum stesen itu ditutup secara rasminya telah habis ditempah oleh pengguna yang tidak mahu melepaskan peluang menaiki tren terakhir itu.

Pengguna terbabit, katanya mahukan tiket yang dicop Stesen Keretapi Tanjong Pagar sebagai kenang-kenangan sempena hari bersejarah itu.


Samsul berkata 80 peratus daripada kira-kira 90 pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah pun dipindahkan, dengan hanya segelintir masih bertugas di Tanjong Pagar menjelang hari terakhirnya pada Khamis.

Kumpulan petugas terakhir itu masih berada di Tanjong Pagar bagi menguruskan beberapa bahagian seperti tiket serta fleet dan akan dipindahkan menerusi perkhidmatan tren terakhir ke Johor Baharu pada malam ini, katanya.

Sementara itu, suasana di Stesen Keretapi Tanjong Pagar pada hari terakhir itu sibuk dengan ratusan pengunjung melawat bangunan bersejarah itu dan membeli pelbagai cenderamata sebagai kenangan.

Pengunjung yang terdiri daripada warga Malaysia, Singapura dan asing juga tidak melepaskan peluang mengambil gambar bangunan stesen keretapi itu yang unik dengan reka bentuk seni bina "art-deco" yang mementingkan nilai-nilai kesenian.

Mereka juga mengambil kesempatan mengambil gambar keretapi yang berlepas dan baru tiba di stesen terbabit serta mengabadikan kenangan bersama pekerja KTMB yang bertugas.

Petugas media dari Malaysia, Singapura serta antarabangsa turut kelihatan membuat liputan di stesen keretapi itu.

-- BERNAMA


Stesen Keretapi Tanjung Pagar sejarah Penting Bagi Pasangan Azman-Asmiah

SINGAPURA, 30 Jun (Bernama) -- Walaupun Stesen Keretapi Tanjong Pagar akan berhenti beroperasi mulai 12 tengah malam ini, tetapi bagi pasangan Azman Harun dan Asmiah Bakri ia tetap menjadi sebahagian daripada sejarah penting dalam hidup mereka.

Ini adalah kerana stesen keretapi yang mula beroperasi pada 1932 menghubungkan Malaysia dan Singapura itu merupakan lokasi perkenalan mereka pada 1999, sehingga membawa mereka berdua ke alam perkahwinan.

"Kami berasa amat sedih kerana stesen keretapi Tanjong Pagar yang begitu bermakna kepada kami berdua akan ditutup. Ia menyimpan begitu banyak kenangan kerana di sinilah kami berkenalan dan hari ini kami telah pun berkahwin," kata Asmiah, 30-an kepada Bernama pada Khamis.


Pasangan Asmiah dan Azman, 35, yang melangsungkan pernikahan mereka hari ini, hadir di Stesen Keretapi Tanjong Pagar lengkap berpakaian tradisional Melayu untuk mengabadikan kenangan terakhir mereka di stesen itu.

Kedua-dua mereka yang merupakan warga Malaysia, tetapi mempunyai taraf penduduk tetap Singapura bersetuju stesen itu telah memainkan peranan yang penting dalam perhubungan rakyat kedua-dua negara.

Menurut Azman, beliau dan isterinya kerap menggunakan perkhidmatan di stesen keretapi terbabit untuk berulang-alik ke Johor Baharu bagi menemui anggota keluarga dan sanak-saudara.

"Stesen keretapi Tanjong Pagar amat penting bagi kami kerana ia merupakan kaedah paling utama bagi kami berulang-alik ke Malaysia dan Singapura untuk menemui keluarga masing-masing," katanya.

Walaupun stesen berkenaan tidak akan lagi beroperasi tetapi Asmiah berharap, bangunan bersejarah tersebut yang mempunyai rekabentuk "art-deco" yang unik itu tidak akan dirobohkan dan dikekalkan untuk tujuan sejarah.

Katanya, generasi muda perlu didedahkan dengan sejarah di sebalik pembinaan bangunan stesen keretapi Tanjong Pagar itu dan kepentingannya terhadap hubungan Malaysia dan Singapura.

"Kita berharap walaupun stesen itu tidak lagi beroperasi, tetapi bangunannya terus berdiri teguh dan tidak dirobohkan bagi mengingatkan orang ramai terhadap peranannya yang menghubungkan rakyat kedua-dua negara," kata Azman.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...