KUALA LUMPUR 18 Mei - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) yakin kerajaan akan menangani rintihan serta masalah yang dihadapi kira-kira 400,000 guru kelas biasa dan memberikan mereka lebih banyak peluang kenaikan pangkat.
Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng berkata, guru-guru ini yang merupakan ”teras” pendidik peringkat akar umbi, seharusnya bertenang dan meneruskan tugas-tugas murni mereka seperti biasa, dan menyerahkan kepada kesatuan soal mengenai perjuangan menjaga kebajikan mereka.
Katanya, kenyataan beliau itu adalah sebagai menyuarakan ”rasa kecewa dan kebimbangan” para guru ini dengan pengumuman kerajaan pada Hari Guru baru-baru ini yang membawa berita gembira kepada lebih 2,000 guru besar dan guru penolong kanan yang akan menikmati kenaikan gaji mulai awal tahun depan.
"Ironinya di sebalik membawa kegembiraan, pengumuman itu menimbulkan kebimbangan dan rasa sedih di kalangan guru kerana sejumlah besar daripada mereka seperti diketepikan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata, pihak kesatuan yang mewakili 140,000 guru di seluruh negara akan berusaha untuk mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secepat mungkin untuk memaklumkan sendiri mengenai rintihan dan masalah yang dihadapi oleh guru kelas biasa.
Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment