BeSt ViEw - MoZiLLa FiReFoX & GoOgLe chRoME

Wednesday, 1 June 2011

Hadith Minggu Ini: Sifat Tamak & Kedekut


Tamak mengundang mudarat
Abu Said al-Khudri menerangkan bahawasanya Nabi SAW pada suatu hari duduk di atas mimbar dan kami duduk di sekitarnya. Maka nabi SAW bersabda: Sesungguhnya di antara yang aku takut terhadap diri mu sesudah wafat ku ialah kemewahan yang diberikan kepada mu. Iaitu kemewahan dunia dan hiasannya. Maka seorang lelaki berkata: Ya Rasulullah! Apakah kebaikan itu mendatangkan kejahatan? Maka nabi berdiam diri. Kerana itu seseorang berkata kepada orang tersebut : Mengapa kamu? Apa urusan mu? Engkau bertanya kepada nabi, baginda tidak mahu menjawab. Kemudian kami melihat bahawasanya nabi sedang diturunkan wahyu kepadanya. 

Abu Said berkata; Maka nabi menyapu peluh pada dirinya dan nabi bertanya: Mana si penanya? seolah-olah nabi memuji orang tersebut. Kemudian nabi bersabda: Sesungguhnya kebaikan itu tidak mendatangkan kejahatan. Dan sesungguhnya di antara yang ditumbuhkan musim bunga, ada yang memusnahkan binatang lantaran kekenyangan atau hampir-hampir membinasakannya kecuali binatang yang memakan sayur-sayuran. Dia memakan umpan hingga apabila telah buncit lambungnya, maka dia pun menatang matahari lalu dia mengeluarkan kotoran dan kencing serta pergi ke padang penggembalaan. Dan sesungguhnya harta itu indah lagi sedap. Maka sebaik-baik harta orang Muslim ialah yang diberikan sebahagiannya kepada orang miskin, anak yatim dan ibnu sabil. Atau sebagaimana nabi pernah sabdakan. Dan bahawasanya orang yang mengambil harta dengan bukan haknya adalah sebagai orang yang memakan dan tidak merasa kenyang. Dan jadilah harta itu saksi atas dirinya di hari kiamat.

Jangan kedekut @ tamak!
Asma' r.a menerangkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda (kepada Asma): Nafkahkanlah dan janganlah kamu menyempitkan sedekah yang menyebabkan Allah menyempitkan (tidak mengeluarkannya) untuk kamu. Dan janganlah kamu menyembunyikan sesuatu dalam bungkusan yang kerananya Allah memutuskan berkatnya dan kesuburannya.

Jangan kedekut @ tamak !
Abu Hurairah r.a berkata : Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW maka bertanyalah ia : Ya Rasulullah, sedekah manakah yang paling besar pahalanya? Nabi menjawab: Sedekah yang engkau berikan sedangkan engkau dalam keadaan sihat dan sangat sayang kepada harta, engkau takut kepapaan dan engkau harapkan kekayaan. Dan janganlah engkau menangguhkan pemberian sedekah sehingga apabila roh engkau telah hampir ke kerongkong berkatalah engkau : Untuk si anu begini, untuk si anu begini. Sesungguhnya si polan itu telah memilikinya

Perbandingan Antara Orang Yang Pemurah Dengan Orang Yang Kedekut
Dari Abu Hurairah r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:Perumpamaan orang yang kedekut dengan orang yang pemurah seperti dua orang yang memakai baju besi yang menutupi dadanya sampai ke leher. Orang yang pemurah, bajunya lapang dan sempurna menutupi badannya hingga ke anak-anak jarinya dan menghapus jejaknya (dosanya). Sedangkan orang yang kedekut disebabkan ia tidak mahu menafkahkan hartanya, maka tiap-tiap cantuman bajunya sendat di tempatnya; ia berusaha mahu melonggarkannya tetapi tidak pula longgar.

Sumber: JAKIM

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...