BeSt ViEw - MoZiLLa FiReFoX & GoOgLe chRoME

Saturday, 23 April 2011

Tazkirah: Solat Qasar & Jama'

Sebagai seorang Islam, kita hendaklah sentiasa ingat-mengingatkan dan saling menyampaikan.. berikut adalah penerangan ringkas untuk solat qasar dan jama’ untuk panduan dan ingatan kita semua:

SOLAT QASAR

Takrifan
      Solat Qasar adalah mengqasarkan (memendekkan) solat yang empat rakaat iaitu Zuhur, Asar dan Isya’ kepada dua rakaat sementara solat Maghrib dan solat Subuh tidak boleh diqasarkan.

Hukum Qasar
Harus berdasarkan kepada dalil berikut:
      i.Al-Quran surah al-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud;“Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) solat jika kamu takut diserang oleh orang kafir…”
     ii. Al-Sunnah yang bermaksud;
      ‘Ya’la bin Umayyah pernah bertanya kepada Umar bin al-Khattab, “Kenapa kita perlu mengqasarkan solat sedangkan kita berada dalam keamanan?” Lalu beliau menjawab, “Aku telah bertanya kepada Nabi s.a.w., dan Baginda bersabda, solat qasar itu adalah sedekah yang Tuhan telah bersedekah kepadamu, maka terimalah sekalian kamu akan sedekah-Nya” 
     (Riwayat al-Nasa’i dan Abu Daud)

Jarak Dibenarkan Qasar
      Dua marhalah iaitu empat burudin di mana setiap burudin mempunyai empat farsakh dan setiap farsakh terdiri daripada 5514 meter mengikut kiraan moden. Dari itu, dua marhalah adalah bersamaan 89 kilometer.
  
Syarat Solat Qasar
  • Hendaklah pelayaran atau perjalanan itu diharuskan oleh syara’.      
  • Jauh pelayaran atau perjalanan itu tidak kurang daripada dua marhalah (89 kilometer / 56 batu).
  • Berniat qasar di dalam takbiratul ihram.
  • Tidak berimam dengan orang yang solat tamam (sempurna).
  • Hendaklah solat yang diqasarkan itu terdiri dari solat empat rakaat.

Contoh Niat
 
    أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا لله تعالى
 Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat Qasar kerana Allah Taala


SOLAT JAMA'
 

Takrifan
Solat Jama’ terbahagi kepada :
  • Jama’ Taqdim iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Zuhur atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Maghrib.
  • Jama’ Ta’khir iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Asar atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Isya’.
Syarat Solat Jama’ Taqdim
  • Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan solat Zuhur daripada solat Asar dan solat Maghrib daripada solat Isya'.
  • Hendaklah niat Jama’ Taqdim di dalam solat pertama sebelum salam tetapi yang afdhalnya di dalam takbiratul ihram.
  • Berturut-turut di antara solat yang dijama’kan itu.
  • Berkekalan pelayaran atau perjalanan itu hingga takbiratul ihram solat yang kedua.
  • Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama (Zuhur atau Maghrib) berkekalan sehingga didirikan solat yang kedua (Asar atau Isya’). 
 Syarat Solat Jama’ Ta’khir
  • Hendaklah berniat jama’ dalam waktu pertama iaitu Zuhur atau Maghrib.
  • Berkekalan pelayaran atau perjalanan hingga memberi salam solat yang kedua.  

Contoh Niat Jama’ Taqdim

i. Jama’ Taqdim Empat Rakaat
 
أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى
     Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala

ii. Niat Jama’ Taqdim Beserta Qasar
 
أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى
      Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala 

Contoh Niat Jama’ Ta’khir
 
i. Jama’ Ta’khir Empat Rakaat

 أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى
Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah Taala

ii.  Niat Jama’ Ta’khir Beserta Qasar
 
أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إلىالعصر اداء لله تعالى  
 Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah Taala

(Sumber: JAKIM - http://www.e-solat.gov.my)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...